Tuesday, September 18, 2007

Berjaga-jaga Rakyat Malaysia......


Tragedi malang membabitkan kanak-kanak perempuan tidak berdosa berlaku satu demi satu, seolah-olah kesudahannya tak berpenghujung. Terbaru kisah kejadian yang membabitkan dua mangsa yang masih tidak mengerti apa-apa hilang entah kemana tanpa ada khabar berita. Ketika misteri kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, masih belum ketemu jawapannya, orang ramai hari ini dikejutkan dengan penemuan yang cukup tragis dan ngeri, mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya. Sebelum ini, berita ada melaporkan tentang seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Norashila Jaafar(gambar) dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor, sebuah kawasan perumahan yang terletak kira-kira 50 kilometer ke utara Kuala Lumpur.Norashila hilang bersama dua lagi remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan jirannya. Dua remaja perempuan yang hilang itu ialah Rosbazla Mohd. Basri dan Nursyakila Azlan, kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.

Apa yang sudah terjadi di Negara kita, Malaysia. Negara yang dikatakan aman kini telah menjadi neraka bagi kanak-kanak malang seperti adik Nurin, 8 tahun dan adik Norashila, 12 tahun. Dimanakah norma hidup manusia zaman sekarang. Kes pembunuhan kanak-kanak yang mayatnya ditemui di dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis tersebut, cukup tragis dan membuatkan hati kita berasa sebak. Sudah tentunya ibubapa dan penjaga dirumah tidak senang duduk melihat apa yang telah dipaparkan oleh akhbar sejak akhir-akhir ini. Kanak-kanak yang sepatutnya duduk dirumah belajar, menuntut ilmu hilang tanpa khabar berita. Jadi kini peranan ibubapa sebenarnya bukan setakat mendidik dengan ajaran yang sebaik mungkin, tetapi juga menjaga anak mereka daripada didekati oleh orang yang tidak dikenali. Selain itu, tanggungjawab ini bukan sahaja untuk para ibubapa sahaja, malahan pihak sekolah dan jiran tetangga juga perlu mengambil serius permasalahan ini.

Kes adik Nurin sebagai contoh, hilang dikawasan yang biasa dengannya, kawasan tetangga. Dengan sekelip mata sahaja dia boleh hilang. Walhal di baru sahaja membeli murtabak kegemarannya, berbual dengan kenalan di kawasan tersebut dan ghaib terus hilang. Sungguh ajaib kejadian ini. Banyak cara dilakukan untuk mencarinya. Bukan setakat pihak polis, banyak pihak terlibat mencari tapi semuanya negatif. Jadi perkara ini boleh dianggap serius. Jadi ibubapa haruslah mengawasi anak mereka daripada bergaul dengan orang yang tidak dikenali.