Thursday, September 20, 2007

Ujian DNA sahkan mayat Nurin Jazlin

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat kanak-kanak perempuan disumbat dalam sebuah beg pakaian di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini Isnin lalu mendapati kanak-kanak itu ialah Nurin Jazlin Jazimin, 8 yang dilaporkan hilang sejak 20 Ogos lalu.

Ujian tersebut telah dilakukan oleh Unit Forensik, Jabatan Kimia itu disahkan pihak polis dan hospital.

Bapa kanak-kanak malang itu, Jazimin Abdul Jalil, bagaimanapun sangsi dengan keputusan tersebut.

Sehubungan itu, polis mencadangkan ibu bapa Nurin Jazlin menjalani ujian kedua DNA di Hospital Kuala Lumpur (HKL).Ibu mangsa, Norazian Bistaman pula mengakui mayat berkenaan memiliki lebih 50 peratus persamaan dengan tubuh anak perempuannya.
Katanya, beliau boleh menerima kematian Nurin Jazlin jika ujian DNA itu sahih.

Menurut Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain, bukti yang diperoleh daripada laporan forensik pihak polis itu adalah hasil ujian makmal ke atas rambut, kuku dan darah Jazimin dan Norazian.

Katanya, keputusan tersebut diperkuatkan lagi dengan rekod pergigian Nurin yang diambil secara berasingan di sekolahnya.

“Rekod pergigian Nurin yang hilang sejak sebulan lalu didapati sama dengan gigi mayat kanak-kanak malang itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Shah Alam, Selangor petang ini menegaskan, ujian DNA yang dijalankan ke atas mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kanak-kanak yang mati itu dengan Jazimin dan Norazian.

Katanya, ibu bapa Nurin Jazlin telah dimaklumkan mengenai keputusan DNA itu tengah hari ini.

Bagaimanapun, selepas membuat pengecaman semula di bilik mayat HKL, kedua-duanya tetap menafikan mayat tersebut adalah anak perempuan mereka.

‘‘Memandangkan kedua-dua ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengesahkannya, maka polis akan meneruskan siasatan untuk mengenal pasti identiti sebenar mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam beg itu.

‘‘Pada masa sama, kita juga akan meneruskan siasatan untuk mengesan suspek yang terbabit dalam kes ini meliputi semua aspek,” katanya.

Pada 20 Ogos lepas, Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak di sini, yang menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Usaha pelbagai pihak mencari Nurin selama sebulan di Kuala Lumpur dan beberapa negeri di seluruh negara gagal menemui kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, selepas 27 hari kehilangan Nurin Jazlin, orang ramai digemparkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama di Petaling Jaya.

Kawasan itu terletak kira-kira 40 kilometer dari rumah Nurin Jazlin di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Mayat kanak-kanak berusia enam hingga sembilan tahun itu ditemui dalam keadaan bogel dengan kaki mengerekot selain terdapat kesan lebam di leher serta luka dan calar-calar di kaki. Berdasarkan bau, polis percaya mangsa telah meninggal dunia lebih enam jam sebelum mayatnya ditemui.

Ibu bapa Nurin Jazlin yang dipanggil membuat pengecaman ke atas mayat itu Isnin lalu mengatakan kanak-kanak itu bukan anak mereka.

Khalid berkata, memandangkan Jazimin dan Norazian tidak mengecam mayat itu sebagai anak mereka, selain sampel darah pasangan itu, polis juga akan mengambil contoh darah kakak mangsa, Nurin Jazshira.

‘‘Kita akan cadangkan ibu bapa Nurin melakukan ujian DNA kali kedua,” katanya.

Khalid menambah, pihaknya juga selepas ini akan menjemput saudara-mara Nurin Jazlin seperti datuk, nenek atau ibu saudaranya untuk membuat pengecaman semula mayat yang ditemui.

Ditanya sebab utama kedua-dua ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengakui mayat tersebut anak mereka, Khalid berkata: ‘‘Ada kemungkinan fizikal mayat tersebut lain. Sebagai ibu bapa, ia satu keadaan yang amat sukar diterima.”

Beliau menambah: “Saya sendiri tidak berani mengesahkan apa-apa kerana keputusan DNA yang diketahui hari ini adalah hasil keputusan sains.’’